Rawatan Hidroterapi untuk pesakit neuro
Pergerakan atau mobiliti untuk pesakit neuro boleh bertambah baik dengan melakukan senaman hidroterapi.
Hal ini kerana, anda dapat melakukan aktiviti yang anda tidak dapat lakukan di darat dengan melakukannya di dalam kolam renang.
Air dapat memberi sokongan dan mengurangkan risiko jatuh dan membantu melakukan latihan mobiliti.
Air juga mempunyai ciri-ciri rintangan yang dapat meningkatkan kekuatan otot, keseimbangan dan koordinasi jika melakukan senaman di dalam air.
Hidroterapi sangat bagus untuk merawat pelbagai masalah neuromuskular seperti –
strok
kecederaan otak
kecederaan tulang belakang
masalah Parkinson’s
Multiple Sclerosis (MS)
Muscular Dystrophy
Cerebral Palsy (CP)
Guillain-Barré syndrome (GBS)
Fibromyalgia
Myalgic Encephalopathy (ME)
Motor Neuron disease (MND)
Chronic Fatigue syndrome
Pesakit lebih berminat untuk melakukan rawatan hidro kerana ia membantu mengurangkan rasa sakit, kekejangan otot, pergerakan sendi yang terhad, otot lemah, peredaran darah yang tidak bagus, ketidakstabilan dan lumpuh.
Kebanyakan prinsip umum senaman darat juga digunakan untuk senaman di dalam air, seperti memanaskan badan dan menyejukkan badan dan rehat yang mencukupi antara sesi (contohnya satu hari).
Paling penting, senaman haruslah berfokus kepada mencapai matlamat yang diingini oleh pesakit, bermakna dan relevan kepada individu tersebut.
Jenis senaman yang sering digunakan dalam air termasuklah senaman kekuatan, kecergasan, keseimbangan, regangan dan relaksasi.
RAWATAN HIDROTERAPI
Regangan dan relaksasi (senaman hidroterapi untuk rehabilitasi neuro)
Ramai pesakit yang menghadapi masalah muskuloskeletal mengikuti senaman regangan dan relaksasi seperti pergerakan pasif atau urutan.
Senaman ini juga boleh dimasukkan dalam program senaman dalam air (hidro), bagi individu yang mempunyai pergerakan terhad disebabkan rasa sakit ketika melakukan aktiviti di darat.
Latihan akuatik ini dapat menggerakkan otot dan sendi pesakit melebihi kemampuan mereka di darat.
Pengubahsuaian latihan
Aktiviti regangan mungkin sukar bagi individu yang mengalami masalah kekejangan yang teruk atau spastik.
Adalah penting untuk fisioterapi memastikan posisi pesakit barada dalam keadaan yang betul bagi mengelakkan ketegangan yang berlebihan pada badan pesakit itu sendiri.
Posisi yang betul akan memberi keselesaan kepada fisioterapi dan pesakit ketika melakukan senaman regangan.
Pesakit yang mempunyai masalah spastik dan kawalan otot yang aktif boleh mendapat manfaat daripada teknik regangan.
Hal ini kerana, pengecutan dan regangan otot yang berulang akan meningkatkan relaksasi otot dan meningkatkan keselesaan dan keupayaan pesakit untuk terlibat dalam sesi latihan senaman akuatik/hidroterapi.
Post Views: 1,300