PENYAKIT PARKINSON
Pengenalan
Penyakit Parkinson adalah penyakit yang disebabkan oleh gangguan pada sistem saraf yang
memberi kesan kepadakeupayaan individu untuk bergerak. Simptom penyakit Parkinson
akan merosot dari semasa ke semasa dan selalunya bermula dengan sebelah tangan menggigil
tanpa sebab. Selain mengalami simptom tersebut, pesakit Parkinson juga mengalami kekakuan
pada otot (muscle tightness).
Pada peringkat awal penyakit Parkinson, pesakit kebiasaannya kelihatan kurang menunjukkan
ekspresi wajah. Selain itu, pemerhatian ketika pesakit berjalan juga akan mendapati pesakit
Parkinson kurang menghayunkan tangan mereka ketika berjalan. Pertuturan pesakit akan
menjadi tidak jelas dan perlahan. Simptom-simptom tersebut akan beransur-ansur
bertambah teruk dari semasa ke semasa.
Walaupun penyakit Parkinson tidak boleh diubati, pengambilan ubat-ubatan boleh menangani
simptom-simptom yang pesakit hadapi. Hanya dalam sesetengah kes, doktor akan
mencadangkan pesakit untuk menjalani pembedahan bagi mengatasi simptom-simptom yang
dihadapi oleh mereka.
Penyebab
Penyakit Parkinson adalah disebabkan oleh sesetengah sel-sel saraf atau neuron tidak berfungsi
dengan baik ataupun mati. Kebanyakan simptom yang dialami oleh pesakit adalah berkaitan
dengan kekurangan dopamine. Dopamine adalah bahan kimia penghantar yang menghantar
maklumat ke otak. Apabila paras dopamine menurun, aktiviti-aktiviti di dalam otak
akan menjadi tidak normal dan seterusnya menimbulkan tanda-tanda penyakit Parkinson.
Penyebab sebenar penyakit Parkinson masih belum diketahui namun beberapa faktor telah
dikenalpasti memainkan peranan penting dalam berlakunya penyakit Parkinson iaitu:
- Unsur genetik
Para penyelidik mendapati mutasi yang berlaku pada unsur genetik yang tertentu boleh
menyebabkan penyakit Parkinson berlaku namun ianya jarang sekali berlaku.
- Faktor persekitaran
Terdedah kepada bahan toksik adalah antara faktor persekitaran yang boleh meningkatkan risiko penyakit Parkinson.
Simptom-simptom
Simptom yang dihadapi oleh pesakit Parkinson adalah tidak sama antara satu pesakit dengan
pesakit yang lain. Terdapat kemungkinan simptom-simptom awal penyakit Parkinson tidak
disedari oleh penghidapnya.
Antara tanda-tanda dan simptom penyakit Parkinson adalah:
- Menggigil tanpa sebab
Lazimnya bermula pada tangan atau jari
- Pergerakan menjadi perlahan (bradykinesia)
Pesakit Parkinson akan hilang keupayaan untuk bergerak normal dan pergerakan menjadi
perlahan.
- Kekakuan otot
Kekakuan pada otot boleh memberi kesan kepada pergerakan anggota badan pesakit selain
menimbulkan kesakitan dan ketidakselesaan.
- Masalah postur dan ketidakseimbangan
Pesakit Parkinson mempunyai kemungkinan untuk mengalami masalah yang melibatkan postur
tubuh dan keseimbangan.
- Hilang keupayaan untuk bergerak secara automatik
Pesakit Parkinson lazimnya mengalami kesukaran bagi melakukan pergerakan automatik seperti mengelipkan mata, senyum ataupun menghayun tangan ketika berjalan.
- Perubahan pertuturan
Pesakit Parkinson akan bertutur dengan suara yang perlahan tetapi laju, butir percakapan
kedengaran tidak jelas dan teragak-agak sebelum memulakan percakapan. Nada percakapan juga
lebih kepada monotone berbanding dengan nada percakapan orang normal.
- Perubahan penulisan
Mereka akan mengalami kesukaran untuk menulis.
Klik Sini Untuk Menghubungi PhysioMobile